Showing posts with label FIQH MUAMALAT. Show all posts
Showing posts with label FIQH MUAMALAT. Show all posts

Monday, April 18, 2011

!Cara Mengurus & Melupus Harta Haram

Cara Mengurus & Melupus Harta Haram Menurut Shariah.

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman


Minggu ini, sekali lagi artikel ini ditulis berdasarkan persoalan yang sering dikemukan kepada saya. Kali ini berkenaan cara terbaik untuk bertawbat dan menguruskan harta haram yang telah dimilikinya. Sebagai asas pertama, perlu diingat beberapa dalil seperti sabda Nabi SAW : ertinya " Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik.." ( Riwayat Muslim, 3/85 ).


Justeru, harta haram tidak sekali-sekali boleh digunakan untuk manfaat diri pemiliknya, samada untuk kegunaan pembayarn cukainya, saman keretanya, makanan keluarganya, tambang basnya dan lain-lain untuk kepentingan dirinya. Apatah lagi digunakan untuk menunaikan Haji dan Umrah. Kemungkinan Haji itu dilihat sah berdasarkan rukun dan syaratnya tetapi tidak diterima Allah SWT kerana ia adalah dari hasil yang tidak baik sama sekali.



Sebuah hadith lain pula menyebut ; Ertinya : "Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertawbat)" (Riwayat al-Hakim, sohih menurut al-hakim dan disepakati oleh az-Zahabi ; Albani : Ianya lemah )



Harta haram yang saya maskudkan di sini adalah harta yang dimilki dengan cara yang tidak diiktiraf oleh Shariah. Ia termasuklah wang yang diperolehi dari hasil pinjaman dengan transaksi Riba, harta curi, tipu, judi, pecah amanah, rasuah, hasil perniagaan haram, hasil keuntungan dari jualan barang curi, hasil keuntungan pelaburan haram, hasil wang dari proses perniagaan secara monopoli dan banyak lagi.



Cara Melupus


Syeikh Atiyyah Saqar (bekas Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar) berkata, : "Wajib melupskan harta yang haram ketika bertawbat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu). ( Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, hlm 2/65)



Persoalannya ; 1) Bagaimana mahu melupuskan harta haram yang di dalam simpanan ? 2) Adakah harus untuk menyedeqahkan harta yang haram ?, sedangkan pemilik harta haram tidak dikira memiliki harta itu menurut pandangan Islam.



Menurut Shariah, jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan tawbat kepada Allah SWT. Bagaimanapun, jika gagal memulangkan semula kepada tuan miliknya, hendaklah ia memulangkannya kepada warisnya, jika gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedeqah (Zad al-Ma'ad, Ibn Qayyim, 4/251).



Demikian juga harta yang terhasil dari riba pinjaman, maka perlulah dipulang semula kepada peminjam yang dikenakan riba itu. Sekiranya harta itu bukan milik perseorangan tetapi milik sekumpulan seperti koperasi sekolah, syarikat atau yayasan; maka cara memulangkannya adalah dengan memasukkan dalam akaun sekolah, yayasan atau syarikat itu; atau cara lain adalah dengan membayarkan bil air sekolah dan syarikat sebanyak jumlah yang dicurinya. Ia secara tidak langsung dikira pemulangan kepada pemilik organisasi. Manakala jika ia dicuri dari tabung masjid atau derma surau, maka ia boleh dipulangkan kepada mana-mana surau dan masjid kerana ia adalah milik umum umat masjid.



Dalil memulangkan harta haram yang diketahui pemiliknya ini datangnya dari Hadith Nabi SAW yang menyebut :-


من كانت له مظلمة لأخيه من عرضه أو شيئ فليتحلل منه اليوم من قبل أن لا يكون دينار ولا درهم , إن كان له عمل صالح أخذ منه بقدر مظلمه , وإن لم يكن له حسنات أخذ من سيئات صاحبه فحمل عليه

Ertinya : Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa jua (harta) saudaranya m hendaklah ia meminta halal darinya pada hari ini sehingga jangan tinggal satu dinar atau dirham jua. (jika tidak di hari kiamat ) sekiranya ia punyai amal soleh, maka akan diambillah amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya ia taida lagi kebaikan, maka akan dipertanggungkan kejahatan orang (yang dizaliminya itu) pula" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fath Al-bari , 5/121)



Demikian juga dalil hadith :

على اليد ما أخذت حتى تؤديه
Ertinya : "Kewajiban atas tangan (yang mencuri) apa-apa yang diambilnya , sehinggalah ia memulangkannya" ( Riwayat Al-Baihaqi dan At-Tirmidzi, 3/566 ; Tirmidzi : Hasan Sohih )



Sedeqah Dengan Harta Haram?



Berkenaan isu ketepatan menggunakan lafaz ‘sedeqah' atau men'derma'kan wang haram yang pada hakikatnya tidak dimilikinya itu. Ia sememangnya boleh dipertikaikan sekiranya ‘sedeqah' itu bertujuan mendapatkan pahala. Memang benar salah satu syarat bagi mendapatkan pahala bagi harta sedeqah adalah memilikinya dengan sah serta ikhlas niat. Bagaimanapun dalam hal harta haram ini, ia bukan bertujuan mendapat pahala bagi dirinya tetapi hanya memenuhi salah satu syarat tawbat dan melepaskan diri dari memanfaatkan harta haram untuk dirinya. Manakala, pahala dari pengorbanan (derma) pula itu akan diperolehi oleh si pemilik samada ia masih hidup atau telah meninggal.



Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya adalah :- Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat 1 dan 2 yang mengisyaratkan kejauthan Rom) bahawa Kerajaan Rom akan tewas. Kemduian apabila Rom benar-benar jatuh maka Abu Bakar telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran), apabila Abu Bakar datang kepada Rasulullah SAW menceritakan perihal harta haram perolehan judi itu, Rasulullah bersabda : "Ini kotor, sedeqahkan ia". Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. ( Tafsir At-Tabari, 20/16 ; At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)



Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.



Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin. Demikian pandangan keempat mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )



Hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti ini adalah pelbagai hadith Rasulullah SAW yang diriwayat Abu Daud dengan sanad yang baik, hadith tentang kekalahan Rom tadi, athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

dipetik dari : zaharuddin.net

Sunday, March 6, 2011

Terkini : Hukum ASB dan ASN

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net



Hari ini saya menerima satu email yang mengandungi satu attachemnet surat dari Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia kepada Setiausaha, Majlis Penasihat Syariah salah sebuah Bank Islam di Malaysia berkenaan hukum Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Apa yang jelas, telah saya sebutkan sebelum ini berkali-kali, walaupun ia telah disahkan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Namun kaedah dan implementasi ASB dan ASN bercanggah dengan panduan sebuah saham amanah yang diiktiraf PATUH SYARIAH oleh Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia.

Tatkala itu, bolehlah dianggap terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan hukum ASB dan ASN antara dua badan pengeluar hukum yang terbesar di Malaysia. Bagi mereka yang ingin lebih berhati-hati dan menjamin tidak terjebak di dalam yang haram, kerana harta akan menjadi darah daging diri dan ahli keluarga. Saya menyarankan agar melihat dengan lebih teliti keahlian ahli-ahli fatwa dari kedua-dua badan terbabit.

Jika di tanya kepada pendapat peribadi saya, saya lebih cenderung kepada pendapat Majlis Syariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dalam hal ini setelah melihat kepada panduan yang diletakkan mereka bagi mengiktiraf sesebuah Amanah Saham yang patuh atau tidak patuh Syariah.

Anda mungkin berkata,

"SAYA TIDAK PEDULI, ASALKAN MAJLIS FATWA LULUSKAN, SAYA AKAN BERPEGANG DENGANNYA KERANA MEREKA YANG TANGGUNG DI AKHIRAT"

Ulasan saya, Allah swt memberikan kita aqal untuk memerhati dan meneliti pandangan kedua-dua badan besar ini setakat kemampuan yang ada, berfikirlah. JIia benar-benar setelah membaca hujjah kedua-dua pihak, lalu anda yakin dengan salah satu antaranya. Anda telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang baik. Namun jika, sambil malas dan ingin mengambil mudah, lalu terus berpegang dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, tanpa mengendahkan hujah Majlis SYariah Suruhanjaya Sekuriti. Tatkala itu, individu tersebut tidak berada dalam situasi yang sepatutnya.


Perlu difahami bahawa Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dianggotai oleh individu yang sememangnya specialist dan berpengalaman di dalam bidang muamalat dan kewangan Islam. Untuk melihat senarai ahlinya, sila buka di sini

Berikut adalah salinan suratnya, saya telah memadam nama bank Islam yang ditujukan surat ini, kerana apa yang penting adalah isi kandungan surat.



Hasil daripada surat ini, Suruhanjaya Sekuriti kelihatan TIDAK MEMBENARKAN bank-bank Islam di Malaysia memberikan pembiayaan tunai kepada pelanggan yang ingin menyertai ASB dan ASN.

Berikut adalah tulisan-tulisan saya yang lalu berkenaan ASB dan ASN. Dan Kita masih mengharap pihak ASB dan ASN mengambil inisiatif lebih tulen untuk melayakkan mereka digelar patuh syariah oleh Majlis Syariah SC, Malaysia.

Sejurus mereka mengubah kaedah pelaburan mereka dan diluluskan oleh Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Di ketka itu, semua artikel-artikel saya berkaitan ASB tidak lagi terpakai tentunya.

Sekian,



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

16 Feb 2009

Tuesday, November 9, 2010

Rumah Terbengkalai, Bank Islam Tuntut Bayaran : Wajarkah ?

Salam Ustaz,

Saya menghadapi masalah projek rumah terbangkalai. Umah sepatut siap 2003 sampai sekarang masih begitu. Saya ambil loan guna BBA. Ikut perjanjian setelah 2 tahun saya kena ‘full montly payment'. Pada tahun 2006 saya minta kurang bayaran kerana projek masih terbangkalai.

Alhamdulillah pihak bank bersetuju tetapi hanya 2 tahun. Ini bermakna 2009 sekali lagi saya kena buat full monthly payment.

Lihat pada keadaan projek tersebut nampaknya tahun 2009 masih lagi tak siap. Pihak pemaju pun macam dah nak larikan diri.

Minta pandangan ustaz yang arif tentang kewangan Islam ni, apa hak atau patut saya lakukan.

Terima Kasih ustaz.


- Acek -


















Jawapan

Wa'alaikumussalam,

Saya tidak punyai cukup masa untuk memberi jawapan berserta dalil dan rujukan kitab dan buku di ketika ini, Justeru jawapan dan respond ringkas sahaja yang mampu saya utarakan, ia adalah seperti berikut :-

Pertama : Saudara perlu membetulkan istilah yang digunakan, saudara sebut " saya ambil loan guna BBA". Ini adalah tidak benar, aqad yang saudara tandatangani dengan pihak bank Islam bukanlah 'loan' atau pinjaman tetapi jual dengan harga tunai dan beli semula dengan bayaran ansuran selama beberapa tahun. Justeru ia tidak sepatutnya disebut ‘loan' tetapi disebut Pembiayaan menggunakan BBA.

Kedua : Terdapat isu atau perbezaan ijtihad Shariah pada penggunaan aqad BBA bagi membiayai rumah atau apa jua asset yang sedang dalam pembinaan ‘under construction asset'.

Ini adalah kerana antara syarat jual beli barang yang dijual atau dibeli (‘subject matter' atau ‘Ma'qud ‘alayhi'), ia mestilah : -

a) Benda yang diklasifikasikan bentuk, jumlah, luas dan lain-lain berkaitan secara tepat,

b) Wujud di ketika pemeteraian aqad atau sekurang-kurangnya dibuktikan mampu serah dalam tempoh yang tertentu dekat sahaja. Namun dengan syarat pembayaran dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan larangan Nabi s.a.w dari berlakunya jualan hutang dengan hutang. Kecuali jika digunakan aqad Istisna ( manufacturing contract), namun masalahnya bank islam ini tidak menggunakan aqad Istisna' tetapi mereka menggunakan aqad jual beli biasa atas konsep BBA.

c) Dimiliki oleh penjual serta beberapa syarat lain.

Ringkasan Hujjah Ilmuan Syariah Yang Membenarkan

Dalam kes BBA dan rumah dalam pembinaan, jual beli asset yang belum siap ini boleh mengundang ‘gharar' yang besar. Pada hemat saya, ia sepatutnya tidak dibenarkan oleh Shariah.

Namun demikian, para ilmuan Islam di Malaysia membenarkan atas hujjah bahawa jualan yang dibuat tadi adalah bukan jualan dan belian "rumah yang sedang dalam pembinaan yang terdedah kepada gharar" tetapi adalah "jual dan beli kontrak atau hak ke atas rumah yang didalam pembinaan". Oleh kerana hak (rights) diiktiraf sebagai harta dalam Islam menurut majoriti ulama sedunia, justeru pihak pelanggan boleh menjual hak ini kepada bank.

Saya faham hujah mereka namun, saya bersama majoriti ulama yang berpandangan bahawa hak sememangnya boleh dijual beli, tetapi ia tertakluk kepada apa yang diwakili oleh hak itu.

Jika hak tersebut mewakili hak ke atas suatu bentuk barangan emas, cara transaksi jualan hak tadi mestilah mengikut displin Islam dalam jual beli emas juga.

Jika ia adalah sebuah ‘hak cipta ke atas sebuah buku', untuk mengesahkan jua dan beli terhadap hak ini, kandungan buku mesti diteliti terlebih dahulu. Jika buku itu mempromosikan yang haram. Jualan ‘hak cipta buku' itu juga menjadi haram.

Maka dalam isu ini, hak yang dijual beli adalah hak ke atas sebuah rumah yang belum siap. Justeru, ia hanya sesuai dan diterima jika digunakan aqad istisna' sahaja. Menggunakan aqad a-bai' atau (jualan) dalam keadaan ia adalah hak kea atas sesuatu aset yang belum siap adalah sama seperti menjual satu aset yang belum ada. Ia dilarang oleh Shariah akibat gharar yang besar.

Kesimpulan, tanpa menggunakan aqad Istisna serta menepati syarat dan rukunnya, penggunaan BBA dalam hal ini boleh dipersoalkan dari sudut Shariah dan jualan hak adalah tertakluk kepada apa yang diwakilinya.





Jika berpegang kepada pandangan membenarkan

Adapun jika anda masih ingin berpegang dengan pendapat beberapa ilmuan Syariah di Malaysia yang membenarkan, ia terpulang kepada anda dan harus bagi orang awam. Namun anda perlu memhaami kesan dan kaibat jika rumah tersebut terbengkalai.

Mari kita melihat apa yang berlaku jika rumah itu terbengkalai dan siapa yang patut dipertanggung jawabkan dari kacamata Islam.

Jika kita melihat dalam proses pembiayaan BBA bagi rumah dalam proses pembinaan di Malaysia. Secara umumnya, aturan aqad atau kontraknya adalah seperti berikut :-

1) Encik Karim membayar 10 % kepada pemaju serta menandatangani perjanjian beli rumah yang dalam pembinaan (sebagai contoh harga rumah RM 100,000, ini bermakna pelanggan telah membayar RM 10,000). Ini tiada kena mengena dengan Bank Islam kerana ia dilakukan sebelum bertemu dengan bank Islam. Pihak pemaju mewarwarkan bahawa rumah akan siap dalam tempoh 2 tahun.

2) Kemudian Encik Karim akan memohon pembiayaan dari mana-mana Bank Islam. Setelah dipersetujui oleh bank.

3) Pihak bank akan membeli rumah tersebut dari Encik Karim. Justeru, satu perjanjian jual beli akan dimeterai. Harga jualan ini biasanya adalah harga pembiayaan yang diperlukan iaitu RM 90,000. Dengan termeterainya aqad ini, bermakna En Karim telah menjual hak milik ke atas rumah dalam pembinaan itu kepada bank Islam. Hasilnya, en Karim sepatutnya bertanggung jawab memastikan rumah itu akan siap dalam tempoh 2 tahun.

4) Setelah pihak bank sah memiliki hak ke atas rumah yang didalam pembinaan tersebut, pihak bank akan menjualkannya smeula kepada En karim dengan harga dicampur keuntungan, sebagai contoh RM 150,000 kerana En Karim ingin membayar secara ansuran selama 25 tahun.

5) Tiba-tiba, dalam tempoh 2 tahun yang dijanjikan siap, rumah terbengkalai akibat pemaju bermasalah. Pihak bank memberi tempoh lanjut selama 6 bulan selepas 2 tahun itu, En Karim mesti membyara harga kepada bank. Mengapa bank menuntut? Jawabnya, kerana nombor empat di atas. Iaitu bank dah jual hak milik tu pada En kari, so En Karim kena bayar lah.

Apa sebenarnya isu Shariah yang akan timbul dalam hal ini. Terdapat dua pesalah dalam hal ini. Ia seperti berikut :-

1- Pesalah pertama : Pemaju :

Ini kerana pemaju gagal menunaikan janji kepada En Karim, rumah sepatutnya siap dalam tempoh 2 tahun tapi gagal. Ini menyebabkan hak milik ke atas rumah yang dalam pembinaan itu tidak mempunyai nilai lagi, apakah nilai bagi hak ke atas rumah terbengkalai? Jawabnya, sudah tentu amat rendah. Pdahala tadi ia dijual dengan harga RM 100,000 kepada En Karim atas dasar ia akan siap dalam tempoh 2 tahun. Pemajulah yang gagal.


Dari sudut Shariah, pemaju adalah pesalah pertama dan sepatutnya memulangkan semula wang deposit 10 % En Karim dan apa juga wang tunai yang telah dibayar oleh bank Islam kepadanya bagi pihak En Karim. Malangnya, sudah tentulah Pemaju tidak akan ingin bertanggung jawab lagi.


2- Pesalah Kedua : En Karim

En Karim boleh dianggap sebagai pesalah kedua kerana dia juga menjual satu hak milik ke atas rumah dalam pembinaan yang mana nilainya datang dari nilai sebuah rumah siap, Ia dijanjikan siap dalam tempoh 2 tahun tapi En Karim gagal juga.


Tidak perlulah En Karim sibuk memberitahu kepada bank bahawa Pemaju yang silap, ia bukan urusan Bank sebagai pembeli. Pihak bank tiada kaitan dengan pemaju, kerana pihak bank Islam HANYA MEMBELI HAK tadi dari En Karim, nilai RM 90,000 itu juga datang dari nilai siap rumah. Justeru ia juga merupakan tanggung jawab En Karim.

En Karim punyai 2 pilihan di dalam Islam,

a) Membatalkan jualannya kepada bank Islam serta MEMULANGKAN SEMUA RM 90,000 kepada Bank Islam(Jika bank telah bayar semua harga). Kemudian En Karim bolehlah menuntut dari Pemaju. Ia bukan urusan Bank Islam.

b) Memohon maaf kepada Bank Islam serta meminta tangguh untuk menyerahkan rumah yang siap sebagai yang sepatutnya. Ia tertakluk kepada persetujuan Bank Islam.

c) Menanggung masalah sendiri dengan Pemaju serta menunaikan tanggungjawabnya sebagai pembeli ( lihat nombor 4, En Karim dah beli semula hak tu dari Bank Islam) iaitu terus membuat bayaran ansuran selama 25 tahun, walaupun rumah gagal siap.


Kedudukan Bank Islam ?


Asalnya, tidak salah bagi Bank Islam untuk menuntut bayaran walaupun rumah terbengkalai kerana ia bukan masalah Bank Islam selaku penjual ketiga. En karimlah penjual kedua dan pemaju penjual pertama.


Oleh kerana Bank Islam penjual ketiga, ia berhak menerima bayaran dari En Karim walau apapun yang berlaku kepada rumah itu. Kerana Bank sudah jual hak itu kepada En Karim.


Namun, bank Islam mestilah BERUSAHA MENUNAIKAN JANJINYA JUGA, IA ADALAH KERAN BANK ISLAM JUGA MENJUAL HAK MILIK RUMAH BELUM SIAP KEPADA EN KARIM. Justeru bagi membolehkan ia terima byaraan berterusan, ia sepatutnay bertanggungjawab memastikan rumah itu siap.


Hasilnya, Bank Islam juga boleh dianggap bersalah kerana sepatutnya bank Islam juga sepatutnya menjual hak milik rumah siap kepada pelanggan, bukan yang terbengkalai. Tidak tepat dari sudut Shariah bagi pihak Bank Islam untuk membuat alasan, En Karim yang silap kerana tidak menjual hak rumah yang betul.


Menurut hukum Shariah, setiap pembelian dan penjualan adalah terpisah dan tidak terikat antara satu sama lain. Tidak dibenarkan mengikat dua aqad jual beli ini. Seolah-olah bank ingin berkata,


"aku jual hak milik atas rumah yang akan siap dalam tempoh 2 tahun ini kepada kamu dengan syarat hak milik yang En karim jual pada saya telah disiapkan"


Ia akan membawa kepada gabungan aqad beli dengan aqad jual yang boleh membawa masalah Shariah.


Kesimpulan


Hasilnya, ketiga-tiga pihak mempunyai tanggung jawab dan kesalahan masing-masing. Bagi mendapat situasi terbaik, pihak bank dan En Karim sama-sama menyerbu pihak Pemaju.

Bank Islam tidak sewajarnya membiarkan En Karim keseorangan dan menunut bayaran, kerana masing-masing bertanggungjawab kerana menjual hak yang gagal ditepati siap pada tempohnya.


Dalam kes saudara, saya kira Bank Islam itu sudah dikira agak baik kerana masih memberi tempoh 2 tahun. Saudara perlu segera menghadapi pemaju.


Sekian,


Zaharuddin Abd Rahman

Halalkah Penalti di Bank Islam?

Dalam praktis perbankan Islam mereka turut mengenakan sejumlah wang sebagai gantirugi atau seperti denda, jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta'widh atau compensation) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dijanjikan. Pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank-bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.






Ganti rugi atau compensation yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.


Para ulama kontemporari terbahagi kepada tiga kumpulan menentukan hukum penalti akibat lewat pembayaran hutang sebagaimana yang terdapat di bank-bank Islam. Ringkasnya seperti berikut :-


Kumpulan Pertama : Harus dikenakan penalti dalam bentuk wang


Mereka seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Bin Mani', Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan, dan Fatwa Persidangan Dallah Al-Barakah [1] dan majoriti Majlis Syariah di bank-bank Islam di Malaysia.


Menurut kumpulan ini wang penalti itu pula boleh dimanfaatkan oleh bank Islam. Keharusan ini berdasarkan beberapa hujjah antaranya :-


•· ‘Maslahat Mursalat' dan tindakan mengenakan gantirugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan mumatil yang disebut oleh Nabi SAW:


مطل الغني ظلم
Ertinya: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman." (Riwayat Al- Bukhari, no 2167, 2/799)


لي الواجد ظلم يحل عقوبته وعرضه
Erti : bagi orang berkemampuan dan melewatkkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka hukuman (Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban : Sohih)


Kedua-dua hadis ini menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan.


•· Qiyas kepada hukuman terhadap perampas harta orang lain. Sekiranya terdapat seorang mencuri atau merampas atau enggan memulangkan harta mangsa yang disimpannya, mangsa diberi hak untuk mengambil mana-mana harta pencuri, perampas atau penyimpan bagi mengembalikan haknya yang dicabuli. Mereka juga bertanggungjawab atas harta mangsa sepanjang tempoh tersebut, justeru sebarang kerugian yang ditanggung oleh mangsa turut akan dituntut dari pencuri, perampas dan penyimpan.






Hal ini dikira sama dengan pelanggan yang berjanji membayar hutang bank Islam pada tempoh tertentu, tetapi melanggar janjinya. sebagai tindakan susulan, bank dibenarkan bertindak dengan mengenakan penalti seperti hukuman merampas.


•· Hukuman ta'zir (denda) ke atas pesalah seperti orang berduit tetapi sengaja melewatkan bayaran hutang terpulang kepada ijtihad hakim atau pemerintah, tanpa terhad kepada hukuman dalam bentuk tertentu sahaja, hukuman boleh datang dalam bentuk denda kewangan dan juga lain-lainnya.






Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya [2]. Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas passportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah dibenarkan oleh Islam.


Kumpulan Kedua :Mengharuskan penalti bentuk wang tetapi disalur kepada kebajikan.


Kumpulan ini seperti kumpulan pertama dari sudut mengharuskan penalti bentuk wang dikenakan ke atas pelanggan yang lewat membayar hutangnya, namun semua jumlah yang terkumpul dari penalty ini TIDAK BOLEH dimanfaatkan oleh pihak bank. Semua jumlah tersebut mestilah diberikan kepada kebajikan awam atau faqir miskin.


Antara yang berpegang dengan fatwa ini adalah Dr Abd Sattar Abu Ghuddah, dan ia turut diputuskan oleh Majlis Syariah AAOIFI bagi produk Murabahah. Fatwa AOOIFI menyatakan :-


يجوز أن ينص في عقود المداينات : مثل المرابحة على التزام المدين عند المماطلة بالتصدق بمبلغ أو نسبة بشرط أن يصرف ذلك في وجوه البر
Erti : Harus dimasukkan dalam mana-mana kontrak yang bersifat hutang seperti Murabahah , bahawa orang yang berhutang di ketika berlaku kelewatan bayaran hutang sedangkan ia mampu, dia akan menyedeqahkan satu jumlah atau nisbah tertentu dengan syarat jumlah tersebut diserahkan kepada kebajikan. [3]


Pandangan ini dipegang oleh majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Hujah bagi kumpulan ini adalah :-


•· Konsep sedeqah duit (ta'widh atau compensation) kepada badan kebajikan atau faqir miskin adalah dibuat atas konsep Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Sebagaimana kata Imam Malik :


والمعروف من أوجبه على نفسه لزمه

Erti : Dan perkara yang baik (ma'ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikannya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya" [4]





Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dipersetujui. Ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.








•· Riba hanya akan berlaku apabila pemberi pinjam (atau dalam konteks kontrak jual beli) penjual sendiri yang mengambil wang penalty tadi, yang hutang pelanggan bertambah kerana lewat bayar. Iaitu Riba al-Jahiliyah dan juga an-Nasiah.




Namun demikian jika jumlah penalty diserahkan kepada pihak ketiga dan kebajikan, ia tidak lagi menjadi riba menurut kumpulan ulama ini.


Di kebanyakan bank Islam yang mengamalkan fatwa ini, jabatan Syariah dan majlis penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis penasihat Syariah juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta'widh akan terus masuk ke akaun khas seperti charity contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada charity kecuali setelah disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.







Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa buah bank Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak mengehadkan penggunaan wang ta'widh (compensation) kepada faqir miskin sahaja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka sebagaimana kumpulan pertama. Perkara ini mungkin telah disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing.



Kumpulan ketiga : Penalti tidak harus sama sekali


Antara ulama yang terkuat mengempen pandangan ini adalah Dr Nazih Hammad, Dr Md Ali El-Gari dan lain-lain dengan pelbagai hujah juga. Hujjahnya adalah [5] :-


•· Penalti disebabkan lewat bayar adalah riba



•· Menolak konsep rampasan tadi kerana hujjah yang mengatakan pihak mangsa boleh mendapat untung dan manfaat kiranya ia mendapat hartanya kembali dalam waktu yang sepatutnya adalah andaian semata-mata. Terdapat kemungkinan besar juga dia tidak langsung memenafaatnya atau mungkin berpotensi untuk rugi jika diperolehi hartanya. Justeru menggunakan hujah ini tidak kukuh.



Kesimpulan


Setelah membaca dan merujuk hujjah-hujjah setiap kumpulan serta melihat kepada keadaan dan konteks semasa, saya cenderung kepada pandangan kumpulan kedua.


Pandangan kumpulan ketiga juga amat baik, namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada antaranya yang sesuai manakala tidak sebahagian lainnya. Memandangkan lemah sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dewasa ini dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh (gantirugi) akan dikenakan.


Bagi fatwa di Malaysia, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja ini, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ia adaah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. [6] Selain itu hanya kadarnya adalah 1 peratus sahaja dan ia tidak bersifat compounding.


Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah compounding iaitu penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman dan jika kena penalti lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ini zalim dan amat menindas.


Sekian,



Zaharuddin Abd Rahman

Bolehkah Tuntut Sewa Jika Penyewa Keluar Awal

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

SOALAN

Saya ingin bertanya berkenaan sewaan di dalam Islam. Boleh ustaz terangkan serba ringkas. Selain itu saya ada rumah disewakan. dalam kontrak ada saya tetapkan, jika penyewa tamatkan sewaan awal, maka dia kena tanggung sewa itu sehingga ada penyewa baru mengambil tempatnya atau tamat tempoh kontrak asal. Contohnya: kontrak 12 bulan, sampai bulan ke 10 dia kena pindah, maka disini dia kena bayar sewa 2 bulan terakhir walaupun dia tak tinggal di rumah tersebut. Adakah kes ni termasuk dalam riba juga? Bagaimana pula dengan perkhidmatan internet streamyx yang memaksa pengguna membayar penuh jika menamatkan kontrak lebih awal?

JAWAPAN :

Pertamanya, tahniah kerana saudara telah bertransaksi dalam urusan sewa menyewa dengan betul apabila kontrak disediakan. Di luar sana, terdapat ramai yang sedang menyewa rumah sama ada di dalam atau di luar Malaysia tanpa disertai sebarang perjanjian hitam putih. Sedikit malang kerana saya ada bertemu beberapa individu di Malaysia dan luar negara yang kelihatan berbangga kerana kononnya tuan rumahnya begitu ‘sempoi', mudah dan tidak formal.

Tiada perjanjian, tiada deposit dan lain-lain, semuanya bagus katanya, tidak memeningkan kepala untuk tandatangan di sana sini, tidak perlu cari ‘referees' untuk dokumen dan lain-lain.

Padahal individu tersebut tidak sedar, tidak semua keadaan mudah di atas akan membawa kebaikan buatnya. Mudah memang mudah di awalnya, namun bibmang atas kemudahan itu juga melahirkan ketidakpastian (gharar) seperti boleh dihalau keluar secara tiba-tiba. Tatakala itu, tiada sebarang dokumen boleh yang membantu mempertahankan hak kita selaku penyewa.

Ketahuilah aqad (kontrak) sewaan di dalam Islam adalah :-

1) AQAD JENIS LAZIM : Ia jenis aqad yang tidak boleh ditamatkan dengan kehendak atau tindakan satu pihak sahaja. Ia mestilah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Inilah yang dinamakan aqad lazim. Namun, jika anda menyewa rumah tanpa sebarang perjanjian hitam putih yang jelas, walau dengan sebaik manapun tuan rumah anda.

Penamatan dari satu pihak mungkin boleh berlaku dan boleh mengakibatkan pergaduhan dan pertengkaran. Telah banyak saya dengar pelajar Malaysia di Jordan dan lain-lain negara yang dihalau keluar dalam tempoh 24 jam oleh tuan rumah mereka, tiada pilihan kerana tiada kontrak untuk menguatkuasakan hak bila berlaku masalah ini. Bila ia berlaku, ia bercanggah dengan hukum Islam kerana ia adalah aqad lazim.

2) MESTI ADA TEMPOH MULA DAN TAMAT : Tempoh mesti ditetapkan dengan jelas : Bila bermula dan bila tamatnya. Ia amat perlu bagi mengelak sebarang risiko terhadap penyewa dan memudahkan pemberi sewa merancang juga. Namun, rumah sewa sementara saya baru-baru ini tiada tempoh, ini menyebabkan saya kurang selesa dan menjadi sebab tambahan untuk saya keluar segera dari rumah tersebut.

3) DEPOSIT DIBENARKAN: Hukum Islam membenarkan tuan rumah mengambil deposit yang dinamakan ‘urbun' dalam aqad sewaan. Dan ‘urbun ini adalah termasuk dalam kategori bayaran sewaan juga, cuma ia dibayar in advance' sahaja.

Pengambilan ‘urbun ini dibenarkan atas dalil tindakan Umar Al-Khattab r.a yang melakukannya dengan persetujuan para sahabat yang lain. (Qarar Majma Al-Fiqh Al-Islami Ad-Dawli no 72 (8/3) )

4) TANGGUNG JAWAB MAINTANANCE ASAS : Tidak halal untuk tuan rumah untuk mensyaratkan penyewa untuk memperbaiki kerosakan asal atau kerosakan major pada struktur asas rumah yang bukan rosak disebabkan penggunaan penyewa. Adapun, menukar bulb mentol yang terbakar boleh dipertanggungjawabkan kepada penyewa. (Al-Ma'ayir As-Syar'iyyah, hlm 138 ; Fatwa Majlis Shariah Al-Barakah, no 9/9)

TUNTUTAN BAKI SEWA

Berkenaan soalan sama ada penyewa boleh menuntut baki 2 bulan sewa dari penyewa yang ingin menamatkan sewaan sebelum tarikh tamatnya. Pandangan majoriti ulama Fiqh [1] menyatakan penyewa mempunyai hak untuk perkara tersebut disebabkan hadis :

Ertinya : Orang Muslim tertanggugjawab atas persetujuan mereka, selagi mana tidak mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram" ( Riwayat Ahmad 1/312 ; Ibn Majah 2/783 ; sanadnya baik)

Maka atas dasar hadis terbabit dan sifat sewaan yang tidak boleh ditamatkan kecuali melalui persteujuan kedua belah pihak. Apabila tarikh sewaan telah ditetap dan dipersetujui, kedua-dua belah pihak mesti menunaikan janji masing-masing. Apabila penyewa ingin keluar lebih awal, dia tidak boleh menamatkan kontrak sewa tersebut kecuali dengan persetujuan pemberi sewa.

Atas dasar itu, pemilik rumah sewa berhak menerima baki 2 bulan sewaan berdasarkan salah satu antara tiga situasi berikut :-

a- Bayaran baki 2 bulan itu dijadikan syarat persetujuan menamatkan kontrak lebih awal. Tatkala itu, hadis berkenaan syarat dan persetujuan bersama adalah terpakai dan wang itu tidak termasuk dalam wang haram atau riba.

b- Baki bayaran 2 bulan itu masih boleh dibayar atas asas sewaan juga, jika itu berlaku, maka penyewa masih tetap mempunyai hak untuk menggunakan rumah terbabit selama baki 2 bulan. Kemungkinan dia boleh membebarkan ahli keluaragnya yang lain memanfaatkan rumah tersebnut, namun ia tertakluk kepada kandungan kontrak. Dalam konetks ini, pemilik rumah pula tidak boleh menyewakan kepada selainnya sepanjang tempoh tersebut.

c- Baki bayaran 2 bulan itu, diambil atas dasar WANG GANTI RUGI (TA'WIDH) atas pembatalan kontrak sebelum tempoh.

Ketiga-tiga situasi di atas adalah diharuskan di sisi undang-undang Islam. Walaupun begitu, dikira satu sifat terpuji jika pemilik bersikap ihsan atau memberi sedikit diskaun kepada penyewa sekiranya alasan yang menyebabkan dia terpaksa menamatkan segera sewaan adalah munasabah dan layak dipertimbangkan sewajarnya.

Kesimpulan, selaku pemilik rumah sewa, anda sememangnya berhak dari sudut hukum Islam untuk menerima semua bayaran sewa yang berbaki dan ia bukan riba di sisi Islam, malah ia juga sah di sisi undang-undang berdasarkan kontrak yang ditandatangani bersama. Cuma pertimbangan untuk memberikan potongan terhadap kos sewa tersebut amat digalakkan di dalam Islam terutamanya jika pemberi sewa tidak terkena sebarang mudarat hasil penamatan awal tersebut dan penyewa pula mempunyai sebab yang munasabah.

Kes yang sama terpakai bagi pengguna internet streamyx sebagai contoh, yang mana kita biasanya mengikat kontrak untuk menggunakan khidmat ineternet selama 18 bulan, apabila kita ingin menamatkannya lebih awal, kita dituntut membayar semua baki untuk bulan-bulan yang akan datang.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

Wednesday, November 3, 2010

Zalim Bukan Penentu Riba

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

(Nota : Perbincangan dalam artikel kali ini adalah sedikit berat bagi mereka yang tidak biasa walaupun saya telah cuba memudahkannya sedaya mungkin. Persediaan minda dan pembacaan teliti satu demi satu beserta faham diperlukan)


Ramai yang terkeliru dalam hal ini, ada yang mengatakan bahawa setiap kezaliman dalam urusan kewangan adalah riba.

"Bukankah riba itu diharamkan kerana zalimnya" kata seorang pelajar sarjana Shariah kepada saya.

"Oo tidak, saudara tersilap faham. Mengelakkan kezaliman bukanlah ‘illah kepada riba tetapi ia hanyalah hikmah dan wisdom disebalik pengharaman riba. Ia adalah dua perkara yang berbeza" Ulas saya

" errmm tak faham" dia membalas lemah.




Untuk memahami perbezaan, kita perlu memahami apa itu ‘illah dan apa syarat-syaratnya. Secara ringkas, ‘illah itu bolehlah dikatakan sebagai satu asas atau sifat yang standard.

Apabila sifat ini ('illah) ada dalam sesuatu transaksi, maka hukumnya akan mengikutnya lalu menjadikan transaksi atau tindakan itu haram, makruh atau halal dan sebagainya.

Disebutkan dalam kaedah Fiqh :-

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما
Ertinya : Hukum (dalam Fiqh Islam) itu berpusing (mengikut) 'illah nya, jika terdapat illahnya maka hukumnya juga ada, jika ‘illah tu tiada maka hukum juga tiada. (‘Ianah At-Tolibin, 2/290 ; Nihayatul Muhtaj, 3/292 ; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 24/159)


CONTOH MUDAH, ARAK.

‘Illah pengharaman arak adalah mabuk. Manakala hikmah disebalik pengharamannya arak yang memabukkan ini adalah untuk menjaga aqal manusia.

Justeru itu, semua benda yang memabukkan minda apabila diminum atau makan (bukan dengan tujuan perubatan - ia punyai perbincangan lain) adalah dikira arak yang haram. Apabila minuman dan makana itu tidak memabukkan sama ada banyak atau sedikitnya, ia bukanlah arak dan tidaklah haram.

HUKUM MUSAFIR

Demikian juga hukum musafir yang layak mengqasarkan solat.

Apakah ‘illah perjalanan untuk dikategorikan sebagai ‘musafir'?

Perlu difahami, bukanlah kesusahan perjalanan, lelah dan letih atau ‘masyaqqah' dalam perjalanan yang menyebabkan sesuatu perjalan itu diiktiraf sebagai ‘musafir'(dari sudut hukum) sehingga layak diberikan kemudahan qasar solat.

Ini kerana kesusahan adalah berbeza-beza di antara seorang dengan yang lain. Ketidaktentuan inilah yang dinamakan ‘TIDAK STANDARD', sekaligus menyebabkan "susah" tidak boleh dijadikan ‘illah dalam mengenalpasti sesuatu perjalanan itu ‘musafir' atau tidak.

Majoriti ulama bersetuju jarak kilometer tertentu atau dua marhalah adalah yang paling sesuai dianggap sebagai ‘illah bagi menentukan satu perjalanan itu musafir atau tidak. Justeru, setiap perjalanan yang mencecah dua marhalah (2 marhalah bersamaan dengan 84 atau 85 kilometer) mazhab Hanafi pula mengatakannya 90 kilometer (Al-Majmu', 4/322 ; Fiqh Islami Waadillatuh, Az-Zuhayli)

Justeru apa sahaja perjalanan yang akan mencecah 85 KM secara automatik digelar musafir di dalam Islam, lalu layaklah untuk qasar solat dalam perjalan sebegini tanpa mengira sama ada perjalanan itu sukar atau tidak, meletihkan atau tidak.

BAGAIMANA PULA RIBA ??

Adakah zalim sesuai dijadikan ‘illah ?. Jika sesuai ini bermakna setiap yang zalim itu riba?.. Para ulama bersepakat bahawa ‘zalim' tidak sesuai kerana ia adalah satu sifat yang tidak mundabid (standard).

Dikenakan faedah (interest) sebanyak RM 500 ke atas pinjaman RM 1 juta mungkin dinggap tidak zalim menurut logik aqal berbanding jika dikenakan RM 200,000. terutamanya jika si peminjam seorang usahwan berjaya.

Namun RM 500 yang sama juga mungkin akan dianggap zalim bagi usahawan yang belum maju. Oleh kerana itu, jika zalim dijadikan illah kepada riba, hukum akan menjadi permainan dan sentiasa berubah mengikut nafsu manusia. Ramailah pula yang mendakwa dizalimi dan ramai pula yang mengatakan tidak.

Saya masih ingat, tercatat di dalam kitab Usul Fiqh yang unggul bertajuk Al-Mustasfa karangan Imam Abu Hamid Al-Ghazzali, kisah seorang raja yang melakukan kesalahan bersetubuh disiang hari bulan Ramadhan.

Hukumannya adalah berdasarkan hadis sohih ini :-

جاء رَجُلٌ إلى النبي فقال إِنَّ الآخر وَقَعَ على امْرَأَتِهِ في رَمَضَانَ فقال أَتَجِدُ ما تُحَرِّرُ رَقَبَةً قال لَا قال فَتَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قال لَا قال أَفَتَجِدُ ما تُطْعِمُ بِهِ سِتِّينَ مِسْكِينًا
Ertinya : Datang kepada nabi seorang lelaki yang telah menyetubuhi isterinya di siang hari Ramdhan

Nabi bertanya, : Adakah kamu mempunyai hamaba untuk dibebaskan ?

Lelaki berkata : "Tiada"

Nabi membalas : Adakah kamu boleh berpuasa 60 hari berturut-turut ?

Lelaki : Tidak berupaya wahai rasul.

Nabi membalas : Adakah kamu mempunyai makan yang boleh memberi makan 60 orang miskin?.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1835, 3/ 684 )

Justeru, pandangan majoriti ulama. Kaffarah atau denda bagi kesalahan itu, mestilah mengikut tertib yang tercatat di atas. 1) membebaskan hamba 2) puasa 60 hari berturut 3) memberi makan 60 orang miskin.

Apabila raja merujuk kepada qadhi, sang qadhi terus memberikan hukuman puasa 60 hari berturut kepada raja dengan alasan hukuman pertama terlalu amat mudah bagi raja kerana ia kaya dan mempunyai ramai hamba. Lalu dibimbangi ia tidak akan memberikan sebarang kesan kepada sang raja. Tindakannya berdasarkan maslahat yang dilihatnya lebih penting dari berpegang kepada nas hadis yang menyebut bebaskan hamba terlebih dahulu.

Anda mungkin bersetuju dengan tindakan qadhi tadi. Betul tak ?

Namun tindakan qadhi ini telah dijadikan contoh popular bagi semua yang mempelajari ilmu usul fiqh..iaitu contoh bagaimana ‘maslahat mulgha' (maslahat yang tertolak) atau "kepentingan" yang disalah gunakan sehingga melanggar nas hadis yang specifik memberikan tertib hukuman kaffarah . Tindakan qadhi ini ditolak oleh ulama Usul Fiqh.

Imam Al-Ghazzali berkata semasa memberi komen terhadap kes di atas :-

فهذا قول باطل ومخالف لنص الكتاب بالمصلحة وفتح هذا الباب يؤدي إلى تغيير جميع حدود الشرائع ونصوصها بسبب تغير الأحوال
Ertinya : Tindakan dan kata-kata seperti tadi (keputusan tadi) adalah pendapat yang batil serta bercanggah dengan nas dari Al-Quran berselindung di sebalik nama maslahat, sebarang tindakan membenarkannya berlaku akan menyebabkan perubahan seluruh undang-undang Syariat dan nasnya atas sebab perubahan lokasi dan masa. ( Al-Mustasfa Min ‘Ilmi Al-Usul, 1/216, cet Ihya At-turath Al-Arabiy)

Lihat!.. apabila nas sudah jelas..tiada elemen logik, redha dan perasaan kemanusiaan boleh masuk campur untuk membatalkannya. Kecuali dalam isu-isu hukum yang terbuka untuk itu, tetapi tidak dalam isu ini dan juga riba.

Ada yang cuba berhujjah dengan saya kononnya riba di institusi kewangan riba atau konvensional tidak mahal, kemudian ada pula yang mengatakan riba sekadar 3 % bagi pinjaman rumah dan pelajaran tidak sewajarnya diharamkan kerana ia memberi manfaat kepada peminjam. Justeru ia tidak riba kerana tidak zalim dan memperolehi redha kedua-dua pihak.

"Yang riba dan zalim adalah Institusi Kewangan Islam yang mencecik darah dan mahal." demikian kata-kata mereka yang terkeliru akibat ilmu yang kosong di dada.

Silap..!.

Dalam mengenal pasti dan menentukan riba, illahnya jelas dari nas hadis..

Iaitu :-

1) Lebih : Sebarang excess atau lebihan dalam : -

a- Pemberian pinjaman wang atau manfaat asset (beri pinjam kereta sebagai contoh) yang DISYARATKAN PULANGAN BESERTA LEBIHAN MANFAAT. Sebarang lebihan sama ada banyak atau sedikit, dirasakan zalim atau tidak. Ia adalah riba yang haram.

b- Sebarang lebihan berat emas atau perak dalam pertukaran emas dengan emas. Samada bezanya 1 gram atau 30 gram,. Ia sama sahaja haramnya. Sebagai contoh, menukar rantai emas seberat 20 gram dengan rantai yang baru seberat 23 gram. Ia adalah riba samada redha atau tidak, sikit atau banyak.

2) Tangguh : sebarang bentuk tangguh dalam :-

a- Pertukaran matawang dengan matawang lain

b- Pertukaran emas dengan emas atau dengan perak.

Itulah illah yang disepakati oleh majoriti ulama, ia bersifat standard dalam semua keadaan bagi semua orang, semua benua dan negara. Tidak terkesan dengan nafsu seseorang.

Saya akui, agak sukar untuk saya memudahkan penerangan ini dalam bentuk tulisan ringkas ini. Penerangan secara verbal mungkin lebih mudah. Namun saya masih berharap pembaca yangtidak mempunyai latar belakang ilmu Usul Fiqh mampu memahaminya.

REDHA DALAM RIBA YANG MURAH BOLEH TAK?

"Mengapa redha dalam hal riba tidak terpakai?" Berkerut dahi student saya ketika bertanya di luar kelas di UIAM.

Saya membalas :

"Kerana riba adalah satu bentuk dosa yang tergolong dalam HAK ALLAH semata-mata, justeru manusia wajib menurutinya tanpa boleh memindanya dengan redha dan rela hati mereka."

"Sama seperti zina.!, adakah zina menjadi halal apabila kedua-dua pasangan redha dan rela..Tidak sama sekali, demikian juga halnya membuka aurat, ia Hak Allah dan ujian yang Allah berikan kepada manusia, bagi menilai siapa yang taat dan siapa yang derhaka" jawab saya.

ASAL HUKUM TRANSAKSI KEWANGAN DI BANK ADALAH HARAM

Ada pihak yang cuba bermudah-mudah dengan mengambil kaedah fiqh yang menyebut



"Asal semuanya adalah harus selagi tidak dibuktikan haram"

Namun, perlu difahami secara halus kaedah tersebut. Yang paling tepat, kaedah ini sememangnya terpakai tanpa syak lagi buat semua perkara ciptaan Allah swt. Sepeprti hukum makan tupai, apakah hukumnya?..justeru selagi tiada nas yang haram, dan tidak pula memudaratkan. Ia kekal sebagai hukum HARUS DAN HALAL. Demikian aplikasinya.

Namun dalam instrument kewangan moden di bank khususnya, para ulama kontemporari mempunyai pendapat lain. Dr Md Daud Bakar (Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia) pernah menyebut dalam bengkel Muzakarah Cendiakawan Shariah Nusantara, bahawa asal hukum semua transaksi kewangan di bank adalah haram selagi belum dibuktikan halal.








Saya bersetuju seratus peratus dengan pandangan beliau. Ini kerana instrument kewangan moden di bank dan pelaburan lain kebanyakkannya adalah hasil ciptaan Yahudi dan puak kapitalis yang sentiasa menjadikan riba, gharar dan judi sebagai tapak ciptaan instrument kewangan moden ini.

Objektif utama mereka bagaimana ingin mencipta lebih banyak wang untuk mereka tanpa mengira kesan kepada orang lain. Pasaranlah yang akan menentukan kesannya kelak.

Hasilnya, adalah amat wajar dan tepat bagi ulama menganggapnya haram selagi belum dibuktikan harus dan halal.










Pengalaman meneliti produk kewangan moden yang wujud hari ini amat tepat bagi membuat keismpulan, amat sukar untuk disah halal sesuatu skim dan produk kewangan itu. Jika ingin menjadikannya halal mesti akan perlukan banyak atau sedikit modifisikasi. Setelah modifikasi barulah ia mampu menjadi harus dan halal.

Akhirnya, kerana sebab itulah umat Islam wajib menggunakan perkhidmatan bank-bank Islam dan Takaful. Mereka mempunyai pakar Shariah yang ditugaskan memantaunya serta mengambil tanggungjawab didunia dan akhirat.










Tanpa pakar Shariah yang menelitinya, setiap individu bertanggung jawab sendiri di akhirat untuk menjawab berkenaan keterlibatannya dengan sebarang skim pelaburan dan bank. Tiada excuse boleh diberikan. Hidup hanya sebentar, jangan leka dengan sebarang skim riba yang memukau nafsu cintakan harta.

Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

PTPTN, Status Shariah & Kos Perkhidmatan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

Terlalu ramai yang bertanya kepada saya tentang PTPTN. Saya cuba mengelak dari membuat sebarang ulasan di dalam web saya kerana mendapat info bahawa mereka sedang dalam proses islamisasi produk mereka. Bagaimanapun demi, bersikap adil kepada hukum dan ilmu, saya tiada pilihan kecuali perlu mengurakannya demi menjawab persoalan orang yang-orang yang bertanya dengan adil.

Jawapan mudah saya, apa yang dilakukan dengan 3 % sebagai kos perkhidmatan adalah riba. Bagaimanapun saya mendapat tahu bahawa,pihak PTPTN sedang berusaha untuk mengubah kepada sistem Islam cuma masih gagal mengimplementasikannya disebabkan oleh masalah sistem pengkomputeran sedia ada dan lain-lain masalaha yang tidak diketahui.

Saya difahamkan beberapa pakar Shariah dan bank Islam di Malaysia telah membentangkan beberapa cadangan struktur pembiayaan pelajaran baru berlandas aqad Ijarah, Bai' dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, banyak yang menemui jalan buntu dan sebahagiannya masih dalam proses penyemakan dan penilaian.



Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba. Tidak dinafikan bahawa para ulama sedunia telah meluluskan bahawa halal bagi sesuatu pinjaman yang dibuat atas asas Qardhul Hasan mengenakan sejumlah kos perkhidmatan kepada peminjam, bagaimanapun cara yang digunakan oleh PTPTN adalah tidak menepati fatwa tersebut.

Apa itu Qard

‘Qard' dari sudut definisinya bermaksud pertukaran atau perpindahan hak milik sesuatu aset atau wang dari pemilik asal kepada pihak lain dengan syarat, pihak lain itu berkewajiban memulangkan aset atau wang yang dipinjam tersebut atau yang sama nilainya pada kemudian hari.

Dalam kata lainnya, ia adalah satu jenis pemberian hutang dalam bentuk sejumlah wang atau pinjaman barangan seperti meminjamkan kereta atau telefon bimbit kepada orang lain dengan syarat ianya dipulangkan semula pada kemudian hari.

Pinjaman atau ‘Qard' dalam Islam adalah merupakan satu kontrak yang di asaskan atas dasar bantu membantu, sukarela (tabarru') dan belas kasihan kepada individu yang memerlukan (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/353). Atas sebab itu, Islam menyanjung tinggi amalan ini sehinggakan Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang melepaskan satu kesukaran saudaranya, maka Allah akan melepaskan pelbagai kesukarannya di akhirat.." (Riwayat Muslim)

Sebuah lagi hadith menyebutkan kelebihan pinjaman tanpa faedah sebagaimana hadith berikut : Dari Anas ra berkata: " berkata Rasulullah SAW, aku telah nampak pada malam aku diperjalankan (pada malam isra' mikraj), tertulis di pintu syurga : satu sedeqah dipergandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali, manakala ‘qard' atau pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak lapan belas kali ganda..." (Riwayat Ibn Majah, 2/812)

Qard ( Pinjaman ) Tidak Boleh diJadikan Asas Perniagaan

Berdasarkan asas tersebut, kontrak pinjaman ini tidak sesekali boleh dijadikan sebagai alat untuk perniagaan atau meraih keuntungan di dalam Islam. Bagi memastikan objektif kebajikan dan bantuan dalam ‘Qard' tercapai, Islam meletakkan kewajiban , bagi setiap pinjaman wang (cth : RM 5000) mestilah dipulangkan pada kemudian hari dengan jumlah yang sama tanpa sebarang tambahan dan manfaat lain yang dipaksakan atau diipersetujui. Sekiranya terdapat sebarang tambahan (cth 3 % dari jumlah RM 5000 sebagai bunga atau manfaat lain), sepakat seluruh ulama menyebut ianya termasuk dalam kategori Riba an-Nasiah yang disepakati haramnya. (Al-Jami' fi Usul al-Riba, hlm 217).

Isu kos perkhidmatan dalam pinjaman

Sungguh ramai yang mengajukan pertanyaan kepada saya berkenaan hukum kos perkhidmatan dan pengurusan yang dikenakan bagi pinjaman yang diberikan. Terdapat beberapa pihak yang cuba mengenalkan produk pinjaman yang bersifat Islam serta diberi nama "Qardhul Hasan". Istilah ‘Qardhul Hasan' merujuk kepada pinjaman tanpa sebarang faedah, ertinya peminjam hanya perlu membayar wang modal yang dipinjamnya sahaja tanpa sebarang penambahan. Ia dikira sebagai salah satu bentuk ibadat yang amat digalakkan kerana sifatnya yang membantu melepaskan orang lain dari kesukaran dan keperluan mendesak tanpa mengambil sebarang peluang atas kesusahan orang lain dengan mengenakan ‘bunga', faedah atau riba.

Walau bagaimanapun, implementasi ‘Qardul Hasan' ini kerap kali tersasar dari tujuan dan konsep asal pinjaman bersifat kebajikan hingga menjadi dwi tujuan, iaitu untuk bantuan dan meraih keuntungan disebalik nama kos perkhidmatan dan pengurusan agar ia menjadi ‘Halal' kononnya.

Sebelum membincangkan soal kos perkhidmatan ini, terlebih dahulu saya ingin membawakan keputusan Persidangan ulama antarabangsa di bawah AAOIFI (http://www.aaoifi.com) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan (dari jumlah yang diberi pinjam) yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau ‘aqad' pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah di larang sama sekali dan ia adalah Riba. (Shariah Standard, AAOIFI, hlm 336)

Adapun dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Shariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 M) berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ianya ADALAH KOS SEBENAR. Resolusi mereka juga menyebut, adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih dari kos sebenar, justeru para Ulama dari persidangan tadi mewasiatkan agar cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya. Selain itu, keputusan mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman. (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337)

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya.

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). Ini adalah kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan system yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.

Inilah Riba yang berselindung di balik nama kos pengurusan dan ‘Qardul Hasan' namanya. Bayangkan, jumlah kos sebenar bagi sesuatu pinjaman yang diberikan kemungkinan hanya (sebagai contoh) sebanyak RM 500 bagi setiap transaksi komputer, peguam, cukai stamp dan lain-lain kos sebenar urusan pinjaman atas asas ‘Qardul Hasan'. Dalam keadaaan ini, sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat iaitu RM 500.

Bagaimanapun, apabila diletakkan satu jumlah peratusan seperti 2 % dan lainnya. Jumlah kos pengurusan tadi sudah pasti akan berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi, tatkala itu kos pengurusan tidak lagi menjadi kos pengurusan tetapi menjadi kos faedah dan riba yang dikenakan bagi setiap sen duit atau wang yang dipinjamkan.

Akhirnya, mesej yang ingin saya sampaikan dari tulisan kali ini tidak lain adalah untuk memastikan nama ‘Qardul Hasan' dan fatwa oleh ulama sedunia berkenaan keharusan kos pengurusan atas pinjaman tidak di salahkan gunakan atau di salah fahami.

Yang Sudah Berlalu & Alternatif

Bagi yang sudah terlepas. Wallahu ‘alam, mungkin anda boleh di anggap dalam situasi 'hajiat' ( keperluan yang agak mendesak bagi mencapai fardhu ‘ain dan Kifayah iaitu belajar) jika sememangnya tiada bantuan kewangan lain yang boleh diperolehi di ketika anda memohon. Wallahu a'lam.



Allah SWT telah menyebut dgn jelas ertinya : " Allah tidak membebankan seseorang perkara yang tidak tidak dimampuinya"

Bilamana seseorang tiada jalan lain lagi yang boleh di perolehi untuk mendapatkan bantuan kewangan pelajarannya, cuma PTPTN saja yang layak (pinjaman PTPTN pula pula dibuat secara Riba), atau bagi sesiapa yang telah terlanjur terlibat dengan Riba ini, tidak banyak yang boleh saya nasihatkan kecuali bertawbat kepada Allah atas ketidakmampuan mengelak itu dan berdoa agar anda tidak di bebankan dengan dosa ini dengan hati yang tidak redha.

Mungkin ia boleh diqiyaskan kepada kisah sahabat yang mengucapkan kalimah kufur kerana terpaksa tetapi hatinya sentiasa beriman kepada Allah dan tidak redha dengan kalimah yang terpaksa di ucapkan itu. Bagaimanapun sahabat nabi tadi diancam dengan bunuh, manakala peminjam PTPTN diancam dengan tertutup peluang belajar ?. Adakah sama ?. Tidak juga, kerana belajar ilmu boleh didapati dalam pelbagai cara termasuk yang percuma seperti di web saya ini. Ringkasnya, memang sukar sebenarnya untuk mangangkat tangan mengatakan "saya dharurat ustaz" atau 'saya amat terdesak' sehingga terlibat. Lebih membimbangkan ada ura-ura untuk mewajibkan ibu bapa menjadi penjamin kepada pinjaman PTPTN si anak. Ini bermakna ibu bapa juga akan termasuk dalam kumpulan yang terlibat dengan riba dengan jaminannya.

Apapun, jika terlibat juga ia bukanlah dosa 100 % terhasil dari diri anda, tetapi pengurusan berwajib yang lebih besar tanggungannya di sisi Allah SWT.

Bagaimanapun, inisiatif pengurusan PTPTN untuk mengubah cara pemberian bantuan yang selari dengan kehendak Islam dan bertepatan dengan agenda kerajaan "ISLAM HADARI" , boleh di puji, ia pasti dilihat oleh ALLAH swt sebagai satu azam kepada kebaikan. Cuma kita mengharapkan ia lebih dari azam lalu menjadi realiti. wallahu alam.

Saya amat memahami bahawa biasiswa dan zakat pula mungkin amat sukar untuk diperolehi. Apapun, sepatutnya di usahakan terlebih bantuan lain dahulu sebelum mengangkat tangan 'mengalah' dan mengambil yang riba. Bagi saya, adalah lebih baik bagi pelajar yang belajar di dalam Malaysia untuk membuat pinjaman tanpa faedah dengan ibu bapa atau adik beradiknya ( jika mereka orang mampu) dari membuat pinjaman PTPTN yang mengenakan % tertentu sebagaia 'kos perkhidmatan' kecuali jika anda belajar di luar negara yang kosnya terlalu tinggi.

Selain itu, ada beberapa buah bank Islam ada menawarkan pembiayaan pendidikan yang distruktur secara bai Inah. Adalah lebih baik untuk mendapatkan perkhidmatan ini dari terjebak dalam RIba walaupun mungkin kosnya lebih tinggi.

Saya juga ingin mencadangkan agar anda membuat surat memohon agar dihapuskan pembayaran 3 % itu kepada pihak PTPTN, sekiranya mereka luluskan. Alhamadulillah, sekiranya mereka tidak meluluskan, maka tanggung jawab yang sudah terlepas menggunakannya telah dikira terlepas.

Bagaimanapun, jika anda gagal mendapatkan rebate dari PTPTN, maka hutang tersebut masih wajib dibayar penuh menurut undang-undang Malaysia. Saya hanya mampu mencadangkan agar rayuan pelepasan dibuat sahaja. Lebih elok jika rayuan dibuat sambil menampilkan prestasi cemerlang di universiti, mungkin ada peluang untuk mendapat pelepasan sebagaimana jenis 'pinjaman boleh ubah', yang mana kos tamabahan itu boleh dihapuskan apabila pelajar mendapat skor tinggi.

Jika benar PTPTN ada menyediakan ruang bagi mereka yang skor untuk dihapuskan kso perkhidmatan riba itu. maka menajdi WAJIB bagi pelajar untuk meraih skor itu, tidak bersungguh bagi mendapatkannya akan dikira sebagai berdosa. Kerana ada peluang untuk elak , tetapi bermalasan untuk mencapainya. Selamat belajar dalam berkat Allah......


Sekian


UZAR

Hukum Beli Emas Ansuran & Trade 'In'

a- Ustaz, saya ada mendengar bahawa barangan emas tidak boleh di beli secara ansuran, adakah ia benar dan mengapa? Untuk makluman, jual beli emas secara tangguh ini amat berleluasa terutamanya di Kelantan.

b- Pohon penjelasan ustaz juga berkenaan cara menukar emas lama dengan yang baru, yang dikenali sebagai "trade in" yang selalu di lakukan oleh kaum wanita di Malaysia.

- ingin selamat di akhirat-

Jawapan :

a. Jawapan Emas di Jual Beli Secara Ansuran.

Semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang.

Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi di anggap emas kerana telah dibentuk, bagaimanapun semua empat mazhab menolak hujah ini kerana gelkang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah di bentuk ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya. Ia juga adalah pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan disokong oleh pelbagai ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah al-Daghi, Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr Ali Salus. Prof. Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.

Rujuk pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4 ; Al-Bayan wa at-Tahsil 6/444 ; At-Tamhid 2/246 ; Al-Umm , 2/32 ; Takmilah al-Majmu' oleh As-Subky . 10/83 ; Mughni al-Muhtaj , 2/25 ; al-Mughni oleh Ibn Quddamah , 6/60 )

Ibn Abd al-Barr dlm Istizkar menyatakan telah berlaku ijma' (sepakat) mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr' (serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya secara ansuran dan hutang.

Khatib As-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/25) mengatakan bahawa hasil pembuatan atau tukangan emas hingga menjadi barang kemas berbentuk itu tidak memberi sebarang kesan kepada hukum emas yang asal.

Bagaimanapun terdapat satu pendapat minorti ulama yang mengatakan bahawa emas tulen apabila ia telah di bentuk sehingga menjadi rantai, gelang dan cincin. Ia telah menjadi sil'ah (barangan dagangan seperti kereta kerana terdapat proses pembentukan dan pembuatan) dan tidak lagi dianggap sebagai emas biasa, justeru hukumnya juga berubah.

Pandangan minority ini di katakan adalah pandangan Ia adalah pendapat Mu'awiyah (Rujuk riwayat ini dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik dlm kitab Buyu' no 2541; An-Nasaie 7/279 ; Al-Bayhaqi 5/280, tapi Abu Darda telah menegur Mu'awiyyah kerana pandangannya bersalahan dengan nas hadith dan kemudian mengadu ke Sayyidina Umar, dan Umar juga mengharamkan), Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim (Rujuk I'lam al-Muwaqqi'ien, 2/141 utk pendapat Ibn Qayyim dan rujuk kitabnya Tafsir ayat Asykalat utk pendapat Ibn Taymiah 2/632 tapi jika dirujuk Majmu' al-fatawa kita akan dapati Ibn Taymiah bersama pendapat jumhur pula). Hasilnya menurut kumpulan ini adalah Harus untuk menjual dan membelinya secara hutang dan ansuran kerana ia telah jadi sil'ah (barang dagangan).

Ia disokong Prof Dr Mahmud ‘Akkam dari Syria dan disetujui oleh As-Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi (kerana "umum al-balwa" - Perkara maksiat yang kurang mudarat tetapi terlampau meluas dan sukar untuk di halang).

Mereka semua menyokong apa yang disebut oleh Ibn Rusyd al-Maliki ( w 595 H) berkata (Rujuk Bidayatul Mujtahid 2/103) yang mengatakan bahawa: "perhiasan emas dan perak sudah terkeluar dari katergori emas tulen (yang tertakluk kepada hukum tukaran emas dalam Islam), justeru harus menjual dan membelinya walaupun secara tangguh.

Ibn Mufleh al-Hanbali (w 763 H) pula berkata (rujuk al-Mubdi' 4/149) : Sesungguhnya ia telah keluar dari sifat asal dengan sebab sun'ah (pembuatan dan pertukangan).

Dalil-dalil jumhur dari pelbagai hadith, boleh rujuk di dalam kitab Az-ziyadah Wa atharuha fi al-Mu'awadah al-Maliah oleh Dr Abd Raouf Bin Muhd Al-Kamali (tesis PhD di Univ Imam dengan tahap Mumtaz, 2/558)

Kesimpulan dan pandangan terpilih : Maka hukum barang kemas adalah sama dalam hal ini, kerana ia tetap emas pada pandangan majoriti, lalu setiap pembelian dan penjualan yang dibayar menggunakan duit (maka Kesatuan Fiqh Sedunia telah memutuskan bahawa matawang kertas adalah ‘nuqud istilahiah' yang sama hukum hakamnya dengan emas, maka jual beli barang kemas dengan wang adalah nuqud dengan emas, maka wajib taqabud boleh tafadhul kerana tidak sama jenis.


b- Jawapan Bagi ‘Trade in' Emas Lama Dengan Emas Baru.

Jelas menurut perbahasan hukum bahawa ‘trade in' emas lama dengan yang baru atau barang kemas emas lama dengan yang baru mestilah mengikut hukum yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap barang kemas tetap dianggap emas dan bukan sil'ah, maka bila seseorang ingin menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain. Ia mesti punyai dua syarat tanpa khilaf (Boleh rujuk pelbagai kitab antaranya al-muamalat al-Maliah al-Mu'asiroh oleh Prof Dr Ali Salus, hlm 180 ; Al-Buyu' al-Sya'iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu :

i) Mutamathilan - mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar khaibar (yang kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti. Hadith ini riawayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu', no 4553. Jika tidak Riba Al-Fadl akan berlaku.

ii) Mesti 'Taqabud fil hal aw fil majlis' ( diserah dan terima dalam satu masa) - kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba Nasiah akan berlaku.

Mungkin ada yang akan bertanya, jadi kalau kita ingin melakukan 'trade in' dengan emas baru yang lebih mahal harganya?? Bagaimana kita nak bayar tambahan harga itu?

Jawabnya : Ia sama dengan kes dalam hadith Tamar Khaibar dan Janib tadi. Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah : "Juallah dengan sempurna , ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi"

JELAS, CARANYA : MESTILAH SESEORANG YANG INGIN MELAKUKAN 'TRADE IN'. MENJUAL TERLEBIH DULU KEPADA PEKEDAI EMAS ITU, LALU IA MESTILAH MENGAMBIL DUIT HARGA RANTAI LAMA ITU, CTH HARGA SEUTAS RANTAI EMAS LAMA KITA RM 2000 DAN BERATNYA 200 GRAM, APABILA KITA INGIN TRADE IN DENGAN RANTAI BERHARGA RM2500, MAKA KITA MESTI JUAL DULU, LEPAS KITA PEGANG DUIT RM2000, BARULAH KITA PILIH RANTAI BARU DAN KEMUDIAN TAMBAH DGN RM 500, KEMUDIAN PEMBELI MEMBAYAR KEPADA PEKEDAI LALU MENGAMBIL RANTAI BARU ITU.

Kemungkinan jika transaksi seumpama ini di buat di Malaysia, ia akan kelihatan pelik. Bagaimanapun itulah cara yang selamat dari Riba.


Ust Zaharuddin Abd Rahman