

Oleh Anak Mami
Sumbangan dari Merdeka Review
Isu Interlok nampaknya telah menjadi isu deadlock. Kerana sama ada karya itu dikekalkan sebagai buku teks seperti dicadangkan (dengan atau tanpa pindaan) atau ditarik balik, ia juga tidak dapat mengkompromikan pihak-pihak terlibat yang enggan berganjak dari pendirian masing-masing.
Jelas sekali isu ini sudah dieksploitasikan oleh politikus-politikus tidak bertanggungjawab dan kumpulan perkauman yang asyik bertaruhkan "maruah bangsa" dalam "zero-sum game" mereka.
Nampak sudah tiada mana-mana pihak yang masih mampu dan cukup berwibawa untuk mengemukakan cara penyelesaian yang dapat diterima oleh pihak-pihak yang terbabit. Keadaan deadlock inilah rasanya lebih teruk dan membimbangkan daripada isu Interlok sendiri!
Pendekatan baru
Jika pendekatan perkauman sudah menemui jalan buntu, mungkin ada baiknya kita kembali ke isu tulen, iaitu adakah Interlok sesuai atau layak digunakan sebagai buku teks di sekolah menengah kita.
Menurut G.L. Koster (sila merujuk "Negara Di Persimpangan: Sepatah Kata Tentang Interlok" dalam "Abdullah Hussain dalam Esei dan Kritikan", DBP, 2008), Interlok adalah sebuah novel sejarah yang melingkupi jangka masa hampir 50 tahun dari tahun 1910 hingga Malaya mencapai kemerdekaan. Malah dianggapnya ia lebih tepat disebut sebagai sebuah roman-a-these, iaitu novel yang menghujahkan tesis, dakwaan atau ideologi tertentu.
Justeru, novel ini tidak boleh dipandang sebagai cereka atau fiksyen semata-mata mengenai tiga keluarga, iaitu keluarga Seman, keluarga Cing Huat, keluarga Maniam dan interaksi antara tiga keluarga tersebut.
Tiga keluarga itu padahal mensimbolikkan tiga bangsa, iaitu bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India, dan interaksinya pula membayangkan hubungan tiga bangsa terbabit pada jangka masa yang terbabit.
Sebagai bahan bacaan umum, ia hanya merupakan pandangan pribadi penulisnya Abdullah Hussain, dan pembaca berhak membaca atau tidak membaca buku itu, dan setuju atau tidak setuju dengan tesis, dakwaan atau ideologi yang cuba disampaikan.
Di samping itu, kebebasan mencipta dan hak bersuara novelis kita juga bisa diimbangi dengan kritikan sastera jika timbul sebarang kontroversi. Selama 40 tahun Interlok diterbitkan tanpa menimbulkan apa-apa polemik tidak membuktikan kandungannya telah diterima baik oleh bangsa-bangsa berkaitan, mungkin juga kerana buku itu tidak dibaca secara luas dan mempunyai impak yang ketara, maka ia pun dianggap sepi saja.
Kriteria-kriteria Buku teks
Selepas Interlok dicadang menjadi buku teks bagi matapelajaran komsas Tingkatan Lima, kritikan terhadap buku itu tidak lagi bersifat peribadi antara pembaca atau pengkritik dengan novelis Abdullah Hussain, tetapi dari kriteria-kriteria yang lebih tinggi dan ketat, umpamanya enam kriteria Jabatan Sastera DBP, antara lain, karya yang terpilih sebagai buku teks mesti mampu "mencetus dan mempengaruhi nilai hidup positif", "bertahan diuji zaman" dan "sesuai menjadi acuan dan rujukan kepada generasi kemudian".
Oleh yang demikian, jika Interlok ingin dijadikan buku teks, terlebih dahulu ia mesti memenuhi kriteria-kriteria yang amat tinggi dan ketat seperti tersebut di atas. Selain daripada nilai estetika, kesan pendidikan dan impak terhadap hubungan kaum juga harus dinilai secara objektif.
Menurut kajian NIAT (National Interlok Action Team) terhadap buku (Bab) Maniam, dari enam kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Sastera, DBP, didapati hanya satu saja kriteria yang dipenuhi.
Rasanya Jabatan Sastera perlu memberi respons terhadap kajian NIAT dengan sikap yang lebih terbuka dan berasaskan kepada penganalisaan akademik dan keintelektualan, bukan emosi atau maruah bangsa yang diada-adakan.
Jika Interlok tidak memenuhi kriteria buku teks yang sedia ada lalu ditarik balik, atau sebaliknya dikekalkan kerana telah memenuhi kriteria-kriteria yang berkaitan, maka ia padahal tidak berkaitan dengan maruah mana-mana satu bangsa, bukan?
Beberapa kritikan terhadap Interlok
Dari kaca mata hubungan kaum seperti yang telah pun disimbolikkan oleh penulis Interlok, beberapa mesej, dakwaan atau ideologi yang cuba disampaikan sudah barang tentu akan membawa konotasi negatif terhadap bangsa yang berkaitan jika ia dihayati sebagai ciri-ciri bangsa yang terbabit.
Mesej dan ideologi utama yang ingin disampaikan ialah ketuanan Melayu, iaitu hubungan imigran/pendatang/orang asing dengan kaum Melayu yang merupakan tuan kepada Tanah Melayu, dan ideologi pro-penjajah dan anti-komunis.
Umpamanya protagonis generasi pertama keluarga Cing Huat, iaitu Lee Kim Lock digambarkan sebagai manusia yang suka berjudi, kaki arak, tahi candu, enggan membawa isterinya ke negeri ini sungguhpun dia telah mampu berbuat demikian, dan sebagainya. Sebagai individu, tak dapat dinafikan mungkin ada manusia seperti itu, malah ada yang lebih teruk daripadanya, tetapi ia pasti tidak boleh dijadikan model bagi pekerja-pekerja imigran Cina pada zaman tersebut.
Berbanding dengan ayahnya, Cing Huat lebih jahat dan terkutuk, dia amat tamak, tidak berperikemanusiaan dan amat berprasangka terhadap orang Melayu - Di satu pihak, dianggap orang Melayu itu bodoh, malas, tidak pandai berniaga dan sebagainya, dan melarang anaknya dari bergaul dengan mereka; Di pihak yang lain, ia cuba menipu harta benda orang Melayu (melalui Pak Musa) dengan cara yang licik.
Cing Huat, seorang tauke kedai runcit pula digambarkan sebagai wakil kelas Kapitalis yang menindas penduduk kampung orang Melayu, sedangkan kuasa kapitalis penjajah British dan kuasa feudalis yang bersubahat dengannya, yang merupakan golongan penindas utama pelbagai kaum di negara kita, sebaliknya tidak disentuh langsung!
Hero utama kita Yew Seng juga dicipta mengikut keperluan prasangka dan ideologi penulis, umpamanya sikap permusuhan terhadap pasukan tentera anti-Jepun dan ideologi komunis.
Justeru itu, jasa pasukan anti-Jepun yang disertai Yew Seng dan adiknya Poh Eng bukan saja tidak dikenang, malah diadakan babak Poh Eng nyaris diperkosa oleh Teck Hock, seorang komunis, pada jauh malam selepas pesta merayakan penyerahan kalah tentera Jepun dilangsungkan.
Dan perang anti-British yang terpaksa dilancarkan di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya juga diputarbelit sebagai ingin mendirikan sebuah negara komunis di negeri kita.
Pengisytiharan Darurat yang bertujuan untuk menindas pejuang-pejuang anti-British juga dialu-alukan, dan perpaduan kaum diperlihatkan melalui penggemblengan tenaga antara Yew Seng dan adiknya Poh Eng (mewakili kaum Cina) dengan pemuda-pemuda Melayu (mewakili kaum Melayu) dan inspector Ramakrisynan (mewakili kaum India) dalam menumpaskan apa yang dinamakan "pemberontakan" komunis!
Lagi lucu ialah Yew Seng dan Poh Eng telah mengaku ayahnya Cina Panjang yang dilantik sebagai pengerusi Persatuan Cina (MCA?) itu sebagai sudah berada di "jalan betul"!
Kesimpulan
Berasaskan kepada analisa seperti tersebut di atas, sebagai sebuah novel sejarah, atau lebih tepat, sebagai sebuah roman-a-these, iaitu novel yang menghujahkan tesis ketuanan Melayu, dakwaan terhadap nilai- nilai negatif ketiga-tiga bangsa dan ideologi pro-penjajahan dan anti- komunis, kepincangan buku Interlok padahal begitu menonjol dan sukar sekali hendak dipertahankan.
Justeru, karya ini pasti gagal memenuhi kriteria-kriteria yang diperlukan agar ianya dipilih sebagai sebuah buku teks. Maka kesimpulannya sudah nyata: Ditarik balik sebagai buku teks seperti dicadangkan dan digantikan dengan karya lain yang dapat dipersetujui oleh pihak-pihak terbabit!
*Lee Ban Chen ialah penulis bebas.
Kesimpulannya
UMNO memang parti perkauman, mengalakkan dan memberangsangkan kaum melayu supaya anti cina, anti India , malah menaburkan semangat membenci terhadap kaum lain. Interlok sebuah buku teks yang menghina kaum minoriti di Malaysia, Dengan terujudnya buku Interlok bagai buku teks, maka suatu identiiti bangsa mulia - Ketuanan Melayu dijadikan tiang penegak supaya melecehkan kaum lain.
Biadap Umno Biadap.
No comments:
Post a Comment